Khamis, 20 November 2008

PENCALONAN UMNO

1. Selesailah sudah mesyuarat bahagian-bahagian UMNO untuk memilih kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian serta pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi Parti.

2. Sistem kuota masih berkuat-kuasa dan pemerhati mengikuti jumlah pencalonan yang diperolehi oleh calon-calon tertentu dalam media samada mereka memenuhi kuota atau tidak.

3. Tetapi berita utama bukanlah berkenaan dengan layak atau tidak layak calon-calon. Berita utama ialah berkenaan dengan kegunaan wang sogokan oleh calon-calon tertentu. Di zaman keterbukaan yang dijunjung oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sogokan wang juga dibuat secara semakin terbuka.


4. Agen-agen calon secara terbuka memberi wang sogokan kepada jawatankuasa bahagian dan wakil ke mesyuarat bahagian. Agen-agen ini tidak segan-segan menyebut nama calon yang membekal wang. Mereka menunggu semasa mengundi untuk mengetahui siapa undi siapa.

5. Satu fenomena yang aneh ialah pencalonan bagi calon tertentu meningkat dengan mendadak pada minggu pertama dan ke-dua. Ternampak seolah-olah mereka ini akan menang tanpa bertanding.

6. Tetapi selepas dua minggu pencalonan bagi calon-calon yang nampak popular ini mula merosot. Masuk minggu ke-empat pencalonan mereka tidak bertambah lagi atau hanya sedikit sahaja.

7. Sebaliknya dari jauh di belakang, calon-calon yang mendapat amat sedikit pencalonan pada minggu-minggu awal tiba-tiba mendapat begitu banyak pencalonan. Demikianlah pencalonan yang mereka dapati sehingga mereka melepasi kuota dan layak bertanding.

8. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Kata orang (saya tak ada bukti) kata orang sahaja, wang yang amat banyak ditaburkan oleh mereka yang mulanya ketinggalan.

9. Kita juga dengar ada perwakilan yang apabila diminta supaya menyokong calon tertentu telah hantar melalui SMS (system pesanan ringkas) namanya dan nombor akaunnya di bank.

10. Yang lain pula berkata tak apalah. Kami terima sogokan dan kami calon mereka tetapi undi semasa pemilihan dalam Mesyuarat Agong belum tentu.

11. Tengku Ahmad Rithaudeen, pengerusi Lembaga Disiplin telah melaporkan yang lembaga telah terima 900 laporan rasuah dalam pencalonan untuk Majlis Tertinggi dan jawatankuasa bahagian. Ini semasa 2-3 minggu bahagian-bahagian bermesyuarat. Apakah angka ini tidak bertambah?

12. Juga dilaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga mendapat banyak laporan berkenaan sogokan wang semasa pencalonan.

13. Saya tertanya-tanya apa yang telah jadi kepada laporan-laporan ini. Besar kemungkinan bukti tidak cukup dan siapa pun tidak akan didakwa.

14. Sebenarnya rakyat Malaysia semua tahu yang pencalonan dan pemilihan pemimpin UMNO adalah hasil sogokan wang berjuta-juta Ringgit. Anggapan bahawa jika tidak ada bukti yang boleh diterima mahkamah maka ini bermakna tidak ada sogokan, bahawa pemilihan dan pencalonan dalam UMNO adalah bersih seperti kain putih, sukar diterima oleh orang ramai. Mereka bukan bodoh seperti yang dianggap sesetengah Menteri UMNO. Mereka tahu sogokan wang memang berlaku.

15. Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam UMNO dan juga ahli-ahli UMNO yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan UMNO sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India. Mereka sedang melihat kelakuan buruk dan kotor orang UMNO tanpa memprotes atau menegur. Kononnya orang bukan UMNO terutama pesara UMNO tidak berhak menegur UMNO. Dan mereka pun tidak menegur. Maka akan selamatlah perasuah.

16. Parti lawan juga turut lihat pendedahan keburukan UMNO dan mereka berdiam diri. Lebih buruk kelakuan orang UMNO lebih baik bagi parti lawan. Kemungkinan mereka menang menjadi lebih cerah apabila UMNO menjadi lebih kotor dan dipandang jijik oleh pengundi.

17. Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia UMNO telah tolak UMNO hanya kerana pucuk pimpinan UMNO yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bemacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati, undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi UMNO dan BN yang menjadi mangsa.

18. Kali ini penolakan UMNO dan Barisan Nasional oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka, Melayu, Cina dan India, memandang jijik keseluruhan UMNO itu sendiri. Dengan mengetahui UMNO terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah decalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon UMNO? Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN.

19. Dahulu ramai berpendapat jika dapat tempat dalam UMNO banyak peluang dan keuntungan akan diperolehi. Ada yang akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan gelaran-gelaran Tan Sri, Dato dan sebagainya. Yang lain akan dapat kontrak, atau jadi pengarah dan mendapat pendapatan lumayan.

20. Kenapa tidak? UMNO tetap menang dan jadi Kerajaan.

21. Tetapi kerana kelakuan buruk ahli dan pemimpin UMNO kali ini besar kemungkinan BN dan UMNO akan kalah. Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini. Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam UMNO tidak akan dapat menjadi Mentri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

22. Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah.

23. Apakah yang akan jadi pada UMNO yang sudah kalah? Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO? Tentu tidak. Jika tidak hancur, UMNO akan jadi parti yang tidak bermaya, tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair. Mungkinkah UMNO yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan UMNO pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka.

24. Jika UMNO hendak dipulih semula pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.

25. Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir. Ingatlah apabila Abdullah umumkan yang dia akan bersara pada tahun 2010, pengumuman ini disambut dengan tepuk sorak. Tidak ada sesiapa yang merayu supaya dia tarik balik pengumumannya. Tidak ada yang menangis. Sebaliknya sejurus selepas pengumuman ini desakan dibuat lagi supaya peralihan kuasa dilakukan lebih awal.

26. Kenapakah UMNO dan rakyat lain hendakkan peralihan kuasa lebih awal? Apakah kerana tidak suka kepada tubuh badan Abdullah atau apakah kerana tidak suka kepada dasar-dasar dan pendekatannya dalam pentadbiran parti dan Negara? Apakah kerana mereka semata-mata mahu pemimpin lain menggantinya?

27. Sesungguhnya sambutan terhadap peralihan kuasa ialah kerana harapan rakyat supaya dasar-dasar, pendekatan dan tingkahlaku Abdullah diganti dengan dasar, pendekatan dan tingkahlaku yang lain, yang berbeza.

28. Jika penggantinya hanya akan teruskan semua dasar dan amalan Abdullah maka sia-sia sahajalah penggantian Abdullah dan peralihan kuasa.

29. Kata Mat Salleh, "You will be back to square one". Dan UMNO akan kalah.

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at November 19, 2008 3:31
sumber: http://test.chedet.com/che_det/

Isnin, 17 November 2008

PERALIHAN KUASA

1. Akhirnya Majlis Tertinggi UMNO dan UMNO keseluruhannya terpaksa akur akan kehendak Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden supaya peralihan kuasa diadakan pada Mac 2009.

2. Tiga bulan bukanlah satu jangka masa yang panjang tetapi dalam politik UMNO dan negara sekarang banyaklah kerja-kerja pemulihan parti yang akan terganggu kerana penangguhan yang tidak berasas ini.

3. Sebabnya ialah kerosakan yang dilakukan oleh Abdullah kepada UMNO begitu teruk sehingga tiap saat usaha pemulihan dilewatkan mungkin boleh membawa kesan yang buruk kepada UMNO dan Barisan Nasional. Selagi Abdullah berada sebagai Presiden Parti dan Perdana Menteri maka Dato Seri Najib akan terganggu dalam usaha memulih semula segala-gala yang perlu dipulih sebelum Pilihanraya Umum ke 13.

4. Sesungguhnya UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponen Barisan Nasional sudah rosak teruk dalam masa lima tahun Abdullah memimpin pertubuhan-pertubuhan ini. Mungkin ada mereka-mereka yang akan pertahan prestasi Abdullah dengan berkata kerosakan ini sudah lama berlaku dan Abdullah cuma mewarisi kerosakan ini.

5. Benarkah? Jika benar kenapakah UMNO dan Barisan Nasional diberi kemenangan 2/3 tiap Pilihanraya sejak 1974 lagi. Tidak sekali pun Barisan Nasional menang kurang dari 2/3 dalam Dewan Rakyat. Dan Barisan Nasional tidak pernah gagal menguasai Kerajaan di Kedah, Perak dan Selangor. Pulau Pinang juga, sejak Gerakan menyertai Barisan Nasional tidak pernah kalah kepada parti lawan, terutama DAP.

6. Dalam Pilihanraya 1999, di waktu mana ramai pengundi Melayu kurang senang dengan kepimpinan UMNO; Barisan Nasional masih menang 2/3 dalam Dewan Rakyat.

7. Jika parti UMNO dan Barisan Nasional yang diserah kepada pimpinan Abdullah pada Oktober 2003 sudah rosak apakah mungkin Barisan Nasional mencapai kemenangan luar biasa pada 2004 dengan mendapat 90% dari kerusi Dewan Rakyat, mendapat balik kuasa di Terengganu dan hanya kalah sedikit sahaja di Kelantan, kubu PAS. Semua tanda-tanda menunjuk bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang diterima oleh Abdullah pada Oktober 2003 berada dalam keadaan amat sihat dan kuat. Jika tidak mungkinkah BN capai kemenangan luar biasa pada Pilihanraya ke-11 pada tahun 2004, hanya 5 bulan selepas peralihan kuasa.

8. Jika kemenangan ini hanya kerana kepimpinan baik oleh Abdullah, tentulah kemenangan yang lebih baik akan diperolehi setelah Kerajaan dan Parti dipimpin olehnya selama empat tahun selepas Pilihanraya umum ke-11. Tetapi prestasi parti dalam Pilihanyara ke-12 tahun 2008 adalah begitu buruk sekali.

9. Jika ini tidak mencukupi untuk membuktikan kerosakan Barisan Nasional dan UMNO di bawah pimpinan Abdullah sejak 2004, pilihanraya kecil di Permatang Pauh jelas membukti bahawa Barisan Nasional dan UMNO sudah jadi parti kerdil yang begitu takut kepada parti lawan sehingga ahli-ahli tidak berani pakai lencana dan baju UMNO atau BN.

10. Apa yang berlaku dalam Pilihanraya Umum 2008 ialah ramai ahli dan penyokong biasa UMNO dan Barisan Nasional telah undi parti lawan. Apakah ini di sebabkan mereka tertarik dengan perjuangan parti PAS, DAP dan Keadilan. Soal selidik menunjuk bahawa mereka tidak terpikat dengan Negara Islam PAS atau Malaysian Malaysia DAP atau reformasi Keadilan. Mereka dengan hati yang berat telah undi parti-parti lawan kerana kecewa dengan kepimpinan Abdullah, tindak-tanduk dan sikap Jemaah Menteri yang tidak tahu kenang budi barang sedikitpun.

11. Untuk memperbaiki kerosakan ini masa yang panjang dan usaha yang gigih perlu dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kurang tercemar imej mereka. Mereka perlu turun padang untuk berjumpa dengan seberapa ramai ahli UMNO dan pengundi-pengundi supaya dapat mendengar rintihan mereka. Banyaklah kesalahan-kesalahan Kerajaan pimpinan Abdullah yang perlu dibetulkan. Kemerosotan ekonomi, kehilangan peluang-peluang kerja, kenaikan harga barang, tidak adanya lagi kontrak bagi kontraktor kecil, semua ini perlu diberi perhatian oleh Dato Seri Najib dan pasukannya. Tindakan yang berkesan perlu diambil bagi mengatasi masalah-masalah ini.

12. Di masa yang sama penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan ahli keluarga perlu dihentikan. Cara hidup yang mewah yang diamali oleh pemimpin-pemimpin parti dan Kerajaan perlu dihentikan.

13. Kontrak-kontrak perlu diagih dengan adil kepada semua pihak dan tidak hanya kepada orang tertentu diantara pemimpin politik sebagai sogokan untuk mendapat sokongan.

14. Kerosakan besar yang kedua yang berlaku dan berkembang semasa kepimpinan Dato Abdullah ialah rasuah dikalangan pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat. Ini menjadi-jadi kerana Dato Abdullah sendiri dilihat sebagai Perdana Menteri yang mengguna kedudukan dan kuasanya untuk menjayakan perniagaan anak dan menantunya, serta lain-lain kaum kerabatnya.

15. Kemunculan Scomi, ECM Libra, dan kontrak-kontrak yang diperolehi oleh syarikat-syarikat ini yang di ketahui dimiliki oleh anak dan menantu PM seolah-oleh mengizin dan menggalak amalan rasuah.

16. Dalam bidang politik, secara langsung atau tidak langsung Abdullah terlibat dengan beberapa kes sogokan. Semua tahu bahawa wang sebanyak RM 200/- diberi kepada wakil-wakil ke mesyuarat Bahagian Kubang Pasu supaya tidak mengundi saya untuk menjadi wakil ke Mesyuarat Agong UMNO pada tahun 2006. Seorang Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan telah lapur kepada Ibu Pejabat UMNO yang Dato Abdullah telah beri sebanyak RM 200/-, kain pelekat dan sejadah kepada ahli cawangan-cawangan UMNO yang dibawa di Kuala Lumpur, diberi makan dan penginapan di hotel mewah dan disuruh sokong peralihan kuasa olehnya pada 2010. Seorang pemimpin veteran UMNO telah buat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah berkenaan perkara yang sama.

17. Kata pepatah Melayu "Apabila guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari." Dan sebenarnyalah apabila pemimpin dilihat mengamalkan rasuah maka pengikut akan amalkannya lebih-lebih lagi.

18. Untuk mendapat sokongan pemimpin tertentu diperingkat bahagian kontrak bermillion diberi kepada mereka, walaupun mereka tidak punyai kebolehan untuk melaksanakan kontrak tersebut.

19. Semasa pencalonan bagi jawatan-jawatan tertentu, ramai yang ingin dicalonkan mengguna wang untuk mendapat pencalonan.

20. Setelah diketahui bahawa ada calon yang sanggup menghulur wang sogokan supaya mereka dicalonkan maka ahli-ahli dan perwakilan ke mesyuarat bahagian sudah mula meminta wang sogokan jika sokongan mereka dihendaki.

21. Amatlah jelas bahawa rasuah sudah menjadi budaya ahli-ahli UMNO disemua peringkat. Apabila budaya ini dianggap sebagai sesuatu perkara biasa maka pemimpin yang akan dipilih lebih mungkin terdiri daripada mereka yang tidak bermoral, perasuah yang hanya ingin jadi pemimpin untuk kepentingan diri. Apabila ini berlaku maka negara akan perolehi pemimpin dan Kerajaan yang tidak bermoral, yang akan salahguna kuasa untuk kepentingan diri. Dengan ini akan rosaklah negara.

22. Rasuah dikalangan ahli dan pemimpin UMNO akan menjadikan UMNO parti yang tidak dapat dipercayai oleh rakyat, dipandang hina dan akhirnya ditolak.

23. Jika UMNO pimpinan Dato Najib ingin diterima dan disokong oleh rakyat sebagai pengundi, ingin memperolehi kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 13 maka rasuah dalam parti hendaklah dihapuskan. Usaha ini bukanlah mudah tetapi suka atau tidak suka Najib dan pasukannya perlu berusaha sedaya upaya.

24. Jika tidak pengundi akan undi siapa sahaja yang menyogok wang kepada mereka dan ini termasuk parti lawan. UMNO dan BN mungkin tidak akan dapat memerintah negara ini lagi. Kita sekarang sedang diberi "preview" jenis pemerintahan yang akan didirikan oleh parti-parti lawan.

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at November 14, 2008 12:38 PM
sumber :http://www.chedet.com/